PETISYEN RAYUAN PENEMPATAN GRADUAN ISMP SE- MALAYSIA

(BAHASA MELAYU)


PETISYEN RAYUAN PENEMPATAN GRADUAN ISMP SE- MALAYSIA

GABUNGAN GRADUAN ISMP MALAYSIA










YAB TAN SRI DATO' HAJI MUHYIDDIN BIN MOHD. YASSIN

Timbalan Perdana Menteri
Merangkap Menteri Pelajaran,
Pejabat Timbalan Perdana Menteri,
Aras 4, Blok Barat,
Bangunan Perdana Putra,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Per.sekutuan ,
62502 PUTRAJAYA.


Salinan kepada ;

YANG BERHORMAT DATUK IR. DR. WEE KA SIONG
Timbalan Menteri Pelajaran I;

YANG BERHORMAT DR. MOHD PUAD BIN ZARKASHI
Timbalan Menteri Pelajaran II;



YAB TAN SRI DATO' ,

PETISYEN RAYUAN PENEMPATAN GRADUAN ISMP SE- MALAYSIA


Dengan segala hormatnya perkara di atas dirujuk.

Kami yang bertandatangan di bawah, selaku graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), ingin merayu kepada pihak Yang Amat Behormat untuk mempercepatkan penempatan keseluruhan  graduan ISMP yang telah berjaya dalam temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran sebelum ini. Rayuan kami merujuk perkara di bawah :-

(1) PENGENALAN/LATAR BELAKANG PERMASALAHAN

1.1  Biarpun mendapat PNGK 4 flat dan lulus dengan cemerlang proses temuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) namun belum tentu menjamin graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) keluaran IPTA tempatan mendapatkan pekerjaan sebagai guru tetap di bawah naungan KPM. Ini bertepatan dengan apa yang telah dilaporkan oleh Berita Harian, bertarikh 29 Mac 2012 yang dipetik daripada kata-kata Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia II, Dr Mohd Puad Zarkashi yang menyatakan bahawa pelantikan guru dari kalangan ISMP oleh KPM akan dibuat berasaskan kekosongan (di sekolah di seluruh negara), mengikut opsyen dan cukup syarat kelayakan. Secara kasar, memanglah petikan kata-kata beliau ini dianggap relevan kerana bertepatan dengan keperluan dan bajet kerajaan namun sekiranya diteliti secara mendalam, jika pengambilan guru tetap dari kalangan ISMP ini tidak berlaku pada semua graduan, akan menyebabkan ramai graduan ISMP menganggur untuk satu jangka masa yang lama ataupun mungkin untuk selama-lamanya.

 

 

(2) PERMASALAHAN YANG TIMBUL/KEKELIRUAN

2.1  Permasalahan yang sedang membelenggu graduan ISMP ini juga menimbulkan seribu satu tanda tanya bagaimana perkara sebegini boleh terjadi sedangkan bilangan pengambilan pelajar untuk mengambil jurusan pendidikan di IPTA seluruh Malaysia adalah mengikut unjuran yang dikeluarkan sendiri oleh pihak KPM mengikut keperluan yang diperlukan pada tahun akan datang. Sebagai contoh, jika pada tahun 2014 bilangan kekosongan guru Matematik di seluruh Malaysia adalah 250 orang, maka KPM akan menetapkan kuota tersebut dan diserahkan kepada pihak IPTA seluruh Malaysia yang menawarkan jurusan pendidikan Matematik untuk mengambil pelajar mengikut kuota tersebut dan tidak mengambil lebih daripada unjuran tersebut. Pihak GGIM dimaklumkan bahawa pihak IPTA seluruh Malaysia sentiasa mematuhi unjuran yang dikeluarkan oleh KPM dalam pengambilan pelajar jurusan pendidikan bagi mengelakkan masalah terhadap anak graduan mereka di masa akan datang. Pihak-pihak IPTA juga menapis ketat pelajar-pelajar ISMP ini dengan mewajibkan lulus 2 peringkat tapisan iaitu lulus ujian MEdSI (Malaysian Educators Selection Inventory) dan lulus saringan temuduga keguruan.

2.2  Lantaran itu, persoalannya mengapa masalah lambakan guru ini masih terjadi? Biarpun pihak KPM ada menjelaskan bahawa peningkatan umur persaraan guru sedia ada yang pada mulanya dari 55 tahun kepada 58 tahun dan akhirnya kepada 60 tahun telah menyebabkan unjuran tersebut sedikit sebanyak terganggu, namun di pihak graduan ISMP merasakan ini adalah sesuatu yang tidak adil kepada tenaga-tenaga muda ini dalam mendapatkan hak mereka.

2.3  Tambahan pula, kerajaan juga bersedia  menyerap seramai 7,079 orang Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) di seluruh negara ke dalam jawatan tetap selepas mengikuti kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) terpilih sebagaimana yang dilaporkan oleh Berita Harian yang bertarikh 20 Disember 2011.

2.4  Hal ini telah menimbulkan tanda tanya kepada graduan ISMP, mengapa berlaku ketidakadilan sehinggakan graduan ISMP masih gagal ditempatkan ke jawatan tetap sehingga sekarang. Sekiranya  kerajaan sanggup menyerap GSTT sebagai guru tetap, sepatutnya kerajaan juga telah bersedia menempatkan ISMP di sekolah-sekolah mengikut unjuran yang telah ditetapkan.

2.5 Permasalahan ini menjadi semakin rumit dan berlarutan di mana graduan ISMP terpaksa menunggu lebih kurang hampir setahun setelah tamat belajar. Dalam tempoh ini,  kesabaran graduan ISMP telah hampir mencapai had, pelbagai harapan dan berita daripada pelbagai sumber mengenai tarikh penempatan tetapi akhirnya telah hampir setahun, nasib kami masih terumbang -ambing tanpa tarikh rasmi yang diberikan oleh pihak yang bertanggungjawab khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia.

2.6 Justeru itu, ramai di antara kami yang menganggur kerana permasalahan status ijazah yang dimiliki kami. Apabila kami ke sektor swasta permohonan kami ada yang ditolak kerana status Ijazah ( Pendidikan), ataupun kami hanya diberikan kerja mengikut kontrak, rata-rata majikan beranggapan kami pada bila-bila masa akan berhenti kerja kerana akan ditempatkan oleh Kementerian Pelajaran apabila tiba masanya dipanggil. Tetapi majoriti daripada kami sebenarnya memang terlalu besar harapan untuk menjadi pendidik dan sanggup menunggu dengan sabar kerana semangat kami dan cita-cita kami ingin menjadi seorang pendidik dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara.



(3) CADANGAN

3.1  Lantaran itu, pihak GGIM yang mewakili suara ISMP seluruh Malaysia merayu kepada pihak KPM agar meneliti semula kuota pengambilan iaitu anggaran sekitar 2600 orang graduan ISMP untuk dilantik ke jawatan guru tetap sekiranya angka ini benar dan biarlah keseluruhan graduan ISMP yang lulus dalam temuduga SPP diberikan penempatan iaitu selaras mengikut unjuran asal sepertimana yang telah dikeluarkan oleh pihak KPM diawal-awal pengambilan pelajar ISMP ini dahulu.

3.2 Pihak GGIM juga menuntut agar KPM menyediakan jalan penyelesaian yang lebih komprehensif dan tidak membiarkan graduan-graduan ISMP terus terumbang-ambing dalam menentukan hala tuju hidup sekalipun KPM tidak dapat menampung bilangan ISMP untuk menjawat jawatan guru tetap disebabkan masalah bajet dan gangguan kekosongan disebabkan umur persaraan dengan cara menjalinkan kerjasama dengan pihak Amanah Rakyat dan kerajaan negeri seluruh Malaysia agar graduan-graduan ISMP yang tidak mendapat tempat ini diambil menjawat sebagai guru sekolah-sekolah menengah kendalian MARA seperti MRSM, guru sekolah-sekolah dan kolej-kolej kendalian kerajaan negeri seperti SM Agama Johor dan sebagainya.

3.3 Pihak kami juga merayu campur tangan YAB Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mencari jalan penyelesaian masalah graduan ISMP ini yang telah pun berlanjutan hampir 1 tahun selaras dengan hasrat beliau yang mahukan setiap masalah rakyat terbela sebaik-baiknya berdasarkan prinsip Gagasan 1 Malaysia, “Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.”

3.4  Oleh itu pihak GGIM menjalankan petisyen pungutan suara ini sebagai bantahan terhadap penafian hak graduan ISMP menjawat jawatan guru tetap (dipostingkan) dan menuntut agar KPM mengambil tindakan segera mengumumkan tarikh penempatan secepat yang mungkin bagi graduan ISMP.


(4) PENUTUP


Kami merakamkan setinggi-tingi perhargaan kepada Yang Amat Berhormat kerana telah cuba sedaya upaya menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh graduan ISMP dan mengambil berat terhadap isu ini. Segala kerjasama dan perhatian daripada Yang Amat Berhormat untuk menerima petisyen ini amatlah dihargai dan didahului dengan ucapan jutaan terima kasih.

 

Sekian.

“ PENGGERAK AGENDA GRADUAN ISMP ”



Yang benar,


Jawatankuasa
Gabungan Graduan ISMP Malaysia

Sesi 2011/2012

E-mail :

-12 April 2012-


Mohd Fadzil Abdul Hanid    Contact the author of the petition

Sign this Petition


OR

Your email address will not be published on our site. However, the author of the petition will see all the information you provide on this form.

You will receive an email with a link to confirm your signature. To ensure you receive our emails, please add info@petitions24.com to your address book or safe senders list.
Facebook